Pada:
Isnin, 18 September 2017
Pengacara TV3, Naz memohon maaf andai ada perkataan yang diluahkan di laman Twitter miliknya mengenai isu mati syahid menimbulkan perasaan kurang senang netizen.
Mmemetik portal mStarOnline, Naz apa yang diluahkannya itu bukan untuk mempertikaikan kenyataan 'mati syahid' tersebut.
Sebaliknya, dia mahu pihak yang menguruskan pusat pendidikan mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak terlalu mudah memberi alasan bagi menutup sesuatu kejadian.
"Ini bukan kali pertama berlaku, sudah banyak kes kebakaran asrama yang membabitkan kematian kanak-kanak.Kejadian kebakaran di pusat tahfiz yang meragut nyawa 23 orang ini membuka mata ramai pihak mengenai aspek keselamatan.
"Saya bukan menafikan tentang hal mati syahid tetapi saya mempertikaikan tentang keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan.
"Sampai bila kita mahu menerima alasan yang sama apabila ia membabitkan kematian," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Dalam pada itu, Naz berharap kenyataannya itu mampu membuka mata ramai pihak terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan pusat pendidikan.
"Niat saya untuk membuka mata pihak berwajib mengenai kepentingan keselamatan.
"Tidak kiralah pusat pendidikan apa sekalipun, soal keselamatan harus menjadi keutamaan dan bayangkan jika berlaku kecemasan, mereka ini tidak dapat menyelamatkan diri.
"Dalam kejadian baru-baru ini, saya yakin pengetua tersebut akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,
"Mungkin mereka yang baca tweet tersebut tidak faham maksud saya kerana tidak membaca catatan yang berikutnya.
"Tidak apa lah, sekurang-kurangnya ada yang menyokong dan memahami apa mesej yang ingin saya sampaikan dalam tulisan tersebut," katanya
Tag : Kemalangan , Kontroversi , Nazrudin , Pengacara TV , Personaliti TV , Sekolah , Tahfiz , TV3 , Twitter


