Dafi meluat dengan gaya Rozita Che Wan

Pada: Jumaat, 23 Julai 2010
Tidak sangka bekas peserta Akademi Fantasia 5, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi begitu meluat dengan pelakon Rozita Che Wan. Dafi mengakui dia tidak senang dengan kelakuan dan lagak diva Rozita ketika penggambaran drama Lawaknya Fantasia Raya terbitan Astro Production Sdn Bhd yang dibuat di Kampung Serkam, Merlimau, Melaka, baru-baru ini. Kata Dafi, dia tidak suka bekerja dengan Rozita, tetapi terpaksa juga maka kenalah dia melayan sikap mengada-ngadanya walaupun tak berapa gemar caranya.

"Dia asyik buat perangai ketika berada di situ. Sepanjang penggambaran, saya memang tak senang dengan kerenahnya," luah Dafi.
Bagaimanapun, jangan terkejut dan buat andaian bukan-bukan kerana ini hanyalah watak mereka dalam telefilem yang akan disiarkan pada Aidilfitri nanti. Dafi membawa watak jurukamera bernama Dafi manakala Rozita pula membawakan watak Cik Ayu, diva popular yang berkunjung ke Kampung Tok Kecut untuk penggambaran drama Gugu Gegat Ayu.

"Di luar watak, saya sangat menghormati Rozita. Saya begitu kagum dengan bakat yang ada padanya dan gembira digandingkan berlakon dengannya. Orangnya begitu profesional ketika di lokasi. Ini kali pertama kami berlakon bersama dan saya amat gemuruh apabila diberitahu akan berlakon dengan dia. Tapi, perasaan gemuruh semuanya hilang apabila pada hari pertama penggambaran lagi dia sudah menunjukkan sikapnya yang mesra, sekali gus melenyapkan tanggapan saya mengenai dia. Dia juga tak lokek bagi ilmu pada saya memandangkan ini lakonan saya yang ketiga selepas Sayang You Can Dance dan Hotel Mania," kata Dafi.

Tag : , , ,