Anuar Zain menang kes royalti album

Pada: Isnin, 17 Mei 2010
Selepas empat tahun turun naik mahkamah, penyanyi Anuar Zain (14 Mei) berjaya dalam kes saman balas bagi menuntut royalti daripada syarikat rakaman Syncrosound Records Label Music Sdn. Bhd. (Syncrosound). Jumlah bayaran royalti tersebut bagaimanapun masih belum ditentukan kerana nilainya perlu ditaksirkan terlebih dahulu oleh Penolong Kanan Pendaftar sebaik sahaja penyanyi tersebut mengemukakan bukti berkaitan jumlah jualan album beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Dr. Prasad Sandosham Abraham turut memerintahkan Syncrosound membayar kos dan faedah sebanyak lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain, 40. Terdahulu, peguam yang mewakili penyanyi lagu Lelaki Ini, Aizul Rohan Anuar memberitahu, syarikat rakaman tersebut telah gagal mengemukakan laporan jualan album sebagaimana yang diarahkan mahkamah pada prosiding lalu.

Peguam, Max Yong yang mewakili syarikat rakaman itu mengakui perkara tersebut dan menyatakan kegagalan tersebut adalah berikutan Syncrosound telah tidak lagi beroperasi. Anuar memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 20 Jun 2006 setelah beliau disaman oleh Syncrosound pada 21 April tahun yang sama. Syncrosound dalam samannya, mendakwa penyanyi itu memungkiri perjanjian apabila menamatkan kontrak tanpa merakamkan tiga buah album lagi dengan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada 27 Disember 2007, Penolong Kanan Pendaftar, Siti Aishah Ab. Rashid telah membatalkan tuntutan Syncrosound tersebut. Dalam tuntutan balasnya, Anuar mendakwa, beliau dan Syncrosound seharusnya merakam dan mengeluarkan sebuah album sahaja tetapi syarikat itu telah melibatkannya dalam lebih daripada dua buah album.

Namun begitu, dakwanya, syarikat itu tidak pernah memberikan sebarang butiran atau penyata mengenai penjualan album-album tersebut seperti yang dikehendaki dalam perjanjian. Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu juga menyatakan sejak 23 Februari 2001, dia hanya menerima pembayaran royalti hasil penjualan kesemua albumnya dengan Syncrosound sebanyak RM2,000 sahaja. Sementara itu, Anuar ketika ditemui selepas tamat prosiding menyatakan rasa syukurnya kerana penantian selama empat tahun akhirnya berbaloi.
”Saya lega dengan keputusan hari ini, terima kasih kepada mahkamah. Harap selepas ini, mana-mana artis terutama artis baru, dapatkan bantuan peguam sebelum menandatangani apa-apa kontrak,” ujar Pemenang Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.
Anuar memberitahu, kes itu melibatkan sebuah album solo dan beberapa album kompilasi yang diterbitkan ketika di bawah syarikat Syncrosound.Penyanyi itu juga sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah, sempat meluangkan masa dengan para peminatnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur. -Utusan

Tag : , , ,