Akibat menumbuk muka seorang lelaki berketurunan Bangladesh, Gous Ali, Sharnaaz Ahmad disahkan didenda wang sebanyak RM1,200 selepas mengaku bersalah menumbuk lelaki berkenaan di Tingkat 1, TPC KL, Kelab Desa & Golf Kuala Lumpur, di mana mangsa bekerja kira-kira jam 5.30 petang pada 22 Julai.
Memetik portal mStarOnline, Sharnaaz didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Peguam Sharnaaz, Zulkifli Awang merayu hukuman ringan atas alasan pelakon itu insaf dengan perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin, bagaimanapun, meminta mahkamah untuk mengenakan hukuman yang akan menjadi pengajaran kepada tertuduh.
Majistret Mahyudin Mohmad Som mengenakan denda RM1,200 yang dibayar oleh pelakon itu.
Semalam kes status suami isteri diantara Hafiz Hamidun dengan Joy Revfa sudah berlangsung. Namun ditangguhkan sehingga 9 November depan.
Joy tampil menjelaskan yang dia tetap dengan pendiriannya bahawa perkahwinan bersama Hafiz adalah sah. Bagaimanapun, Joy memilih untuk mengunci mulutnya mengenai kemelut rumah tangganya kerana menghormati mahkamah.
"Tiada apa yang boleh saya katakan kerana kes pun sudah berjalan dan biarlah mahkamah menentukan segalanya.
"Tetapi saya tetap dengan pendirian bahawa perkahwinan kami adalah sah," ujarnya memetik mStarOnline
Hafiz Hamidun memberi amaran agar isterinya, Siti Arifah Mohd Amin (Joy Revfa) mengambil serius terhadap permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) difailkan wanita itu di mahkamah.
Hafiz berkata, sikap sambil lewa Joy Revfa terhadap kes itu menyebabkan banyak masalah timbul sehingga mengelirukan keadaan.
"Sebenarnya kes ini boleh diselesaikan dengan cara baik tetapi dia memilih untuk memfailkan di mahkamah.
"Apabila dia pergi ke mahkamah dan buat sidang media jadi saya akur dan perlu ikut saluran undang-undang juga.
"Tetapi saya bagi amaran! Jangan main-main! Kejap kata nak selesai dengan baik, tiba-tiba failkan di mahkamah. Sekejap tidak mahu datang, tiba-tiba muncul.
"Satu sahaja saya minta daripadanya agar serius mengenai kes yang dia sendiri bawa ke mahkamah walaupun dia tegaskan pernikahan kami sah,
"Tiada apa yang ingin saya malu atau kesalkan apabila perkahwinan kami menjadi buah mulut sebaliknya berasa positif dengan apa yang berlaku.
"Banyak yang saya belajar dan apa yang berlaku diharap juga dapat menjadi tauladan kepada orang lain," katanya memetik mStarOnline.
Syarikat pengambaran milik pelakon, Ijoy memfailkan saman terhadap stesen penyiaran Al Hijrah bagi menuntut pembayaran kerja produksi, iaitu rakaman program bual bicara berjumlah lebih RM265,000, dua tahun lalu.
M A Pictures Sdn Bhd milik Ijoy atau nama sebenarnya Zulkifly Azahari memfailkan saman itu melalui Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ijoy yang juga suami kepada pelakon popular Sharifah Shahirah yang bertindak sebagai plaintif menamakan Al Hijrah Media Corporation sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa M A Pictures atas permintaan defendan telah menghantar satu salinan sebut harga bertarikh 29 Oktober 2015 yang mengandungi perincian lengkap berkenaan perkhidmatan kerja-kerja produksi yang ditawarkan bagi tujuan rakaman program bual bicara 26 episod bertajuk Maqasid Syariah - PNB dengan nilai RM265,600.
Plaintif yang menerima tawaran dari pihak defendan sebagai krew produksi menjalankan tanggungjawab dengan menyiapkan kerja produksi program itu sehingga selesai termasuk menyerahkan semua rakaman itu kepada defendan.
Defendan seterusnya menyiarkan siri rakaman program tersebut di rangkaian televisyen, laman sesawang dan media miliknya dan program tersebut telah mendapat sambutan yang baik.
Selepas rakaman akhir program itu disiarkan, defendan masih tidak membayar dan gagal melunaskan bayaran tertunggak sebanyak RM265,600.
Sehingga tarikh pemfailan, tindakan undang-undang pihak defendan masih lagi belum menjelaskan jumlah tuntutan itu.
Berikutan itu plaintif menuntut bayaran sebanyak RM265,600 yang terhutang ganti rugi am, dan ganti rugi teladan serta kos tindakan dan faedah. -BharianOnline
Bekas suami Joy Revfa iaitu Datuk Ray Imran tampil mempersoalkan sikap Hafiz Hamidun terhadap rumahtangganya dengan Joy. Dalam pada masa yang sama, Ray juga kesal kerana dikaitkan padahal dia sudah memberikan kerjasama sebelum mereka berkahwin pada bulan Mei lalu.
"Saya terkejut, apa motif Hafiz yang masih memanjangkan isu ini. Kalau betul dia sayang Joy, perkara ini tidak akan timbul.
"Saya rasa ada sebab lain yang cuba diselindung Hafiz,
"Sudah pergi berbulan madu di Taiwan, kenapa ragu-ragu? Jika benarlah Joy tidak pandai memberikan kerjasama menyelesaikan masalah, dia sebagai suami perlu bertindak lebih matang.
"Biasalah perempuan kalau rasa diabaikan, mereka beremosi,
"Apa-apapun, saya akan beri kerjasama kepada bekas isteri dan mahkamah untuk mengelak fitnah dan spekulasi," katanya kepada BharianOnline.
Hafiz Hamidun memberitahu dia tidak pernah mengadakan hubungan kelamin dengan Siti Arifah Amin atau Joy Revfa selepas mereka bernikah pada 1 Mei lalu.
Hafiz, 33, berkata, dia bertindak demikian berikutan meragui status wanita berkenaan yang tidak menyerahkan sijil perceraian sehingga tarikh mereka diijab kabul.
"Kami tidak pernah mengadakan hubungan kelamin, saya tidak sentuh dia kerana sejak hari pertama kami berkahwin sudah ada keraguan.
"Sejak bernikah kami tinggal berasingan kerana saya sentiasa berfikir tentang masalah dikemudian hari," ujarnya
Joy dalam kenyataannya menerusi rakaman video pada Selasa berkata mereka sudah 'bersama' dan berbulan madu namun Hafiz tidak mempedulikannya selepas itu.
Sementara itu, bercerita tentang kronologi perkahwinan tersebut, Hafiz berkata, keraguannya timbul selepas Joy gagal memberi surat cerai yang dijanjikan selepas mereka berkahwin.
Katanya, dia berkali-kali meminta wanita tersebut menguruskan perkara berkenaan dengan bekas suaminya sebelum hari pernikahan berlangsung.
"Dia mengatakan kepada saya bahawa dia telah bercerai melalui pesanan mesej aplikasi Whatsapp yang dikirim oleh bekas suaminya iaitu Mohd. Rayos bin Abdul Rahim.
"Berkali-kali dia katakan pada saya dokumentasi cerai masih tiada dan mendakwa bekas suaminya tidak mahu selesaikan urusan perceraian.
"Pernikahan diteruskan setelah pihak Pejabat Agama Daerah Petaling berpuas hati dengan pernyataan daripada pihak dia bahawa penceraiannya dengan suami sebelum ini telah berlaku.
"Akhirnya pernikahan di antara saya dan Joy dilangsungkan dengan aku janji untuk memberikan surat perakuan cerai perkahwinan terdahulu selepas majlis akad nikah," ujarnya.
Hafiz berkata, dalam hal ini dia sudah sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan itu termasuk menemani Joy ke Songkhla bagi mendapatkan sijil perceraian daripada suami pertama.
"Pada 1 Jun 2017, saya dan Joy telah ke Songkhla bagi menguruskan Cerai Taklik di antara dia dan bekas suami di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla.
"Saya bersungguh untuk selamatkan perkahwinan ini. Tapi saya tidak jumpa jalan mudah dan perkara itu kerap diganggu oleh pelbagai janji yang tidak dilaksanakan pihak sana," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perasaannya terhadap ahli perniagaan tersebut, Hafiz berkata, dia sudah tawar hati dengan apa yang telah berlaku.
"Apa yang terjadi ini tidak membenarkan perasaan sayang saya terhadap dia. Kalau nak cakap tentang perasaan saya rasa sudah lakukan yang terbaik untuk selamatkan rumah tangga ini.
"Kita ikut sahaja keputusan mahkamah pada 14 September nanti," ujarnya.
Terdahulu, Joy memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari, Shah Alam pada Jumaat lalu selepas meragui perkahwinan yang dibina bersama Hafiz.
Permohonan itu dibuat selepas Hafiz mula meragui perkahwinan mereka dengan mendakwa ia sebagai tidak sah.
Semalam dunia hiburan digemparkan dengan berita Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa yang difahamkan bakal bercerai setelah baru 3 bulan mendirikan rumahtangga (1 Mei 2017).
Ini disebabkan Joy hadir ke mahmakah Syariah Shah Alam atas tindakannya memfailkan permohonan pembubaran nikah kerana perkahwinan mereka dikatakan tidak sah oleh Hafiz.
Anak perempuan Chef Wan, Serina Redzuawan akhirnya menjawab spekulisi berhubung kes penceraiannya dengan Gavin Edward O'Luanaigh.
Memetik Bharian, Serina merasa terkilan dengan beberapa pihak yang menuduh beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu ekoran pemberian hak jagaan sementara anak-anak kepada suami, Gavin.
Menurut Serina, ada sebab beliau membuat keputusan sedemikian dan masing-masing bersepakat menjaga dua cahaya mata mereka dengan cara tersendiri.
"Terlebih dulu saya nak maklumkan, saya dan Gavin tidak bergaduh, apatah lagi mahu berebut anak. Kami bersepakat untuk menjaga anak-anak bersama.
"Memandangkan siang hari dia bekerja mengikut waktu pejabat, maka saya akan menguruskan anak-anak, termasuklah hal sekolah, mengaji dan sebagainya.
"Pada waktu malam pula, Gavin yang akan uruskan mereka. Dia minta anak-anak bermalam di rumah asal kami kerana bilik mereka baru saja diubah suai. Salah ke?
"Bukannya saya lepas tangan tinggalkan anak-anak. Masya-Allah, fitnah cukup besar disebarkan. Jawablah di akhirat nanti. Saya masih rasional dan tahu tanggungjawab menjaga mereka," tegasnya.
Pasangan terbabit kini menjalani prosiding perceraian yang difailkan oleh Serina, sejak April lalu.
Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam menetapkan 14 November ini untuk perbicaraan kes tuntutan saman penerbit drama dan filem, Datuk Rafena Ezanee Ramli terhadap pelakon terkenal, Didie Alias atas dakwaan pelanggaran kontrak dan mengaibkannya menerusi media sosial.
Hakim menetapkan tarikh tersebut yang akan berlangsung selama empat hari ketika kes berkenaan disebut dihadapannya di dalam kamar hakim.
Rafena Ezanee dan Didie hadir ke mahkamah bersama peguam masing-masing iaitu Mohd. Fadhly Hashim dan Azlan Abdul Razak.
Berdasarkan saman yang difailkan Rafena dan syarikat penerbitannya, Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. (Dark Wave) pada 21 Mac lalu, kedua-duanya menamakan Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammad, 43, sebagai defendan.
Kedua-dua plaintif da-lam pernyataan tuntutan saman tersebut menyatakan defendan merupakan penerbit eksekutif bagi satu rancangan travelog Street Food Asian sebanyak 13 episod yang merupakan program terbitan Dark Wave.
Dalam penyataan tuntutan saman itu, plaintif mendakwa Didie yang telah menerima RM7,000 untuk melakukan kerja-kerja penerbitan travelog itu telah sengaja, cuai dan gagal untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut seperti mana termaktub dalam perjanjian yang dimeterai pada 7 Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kerugian. -Kosmo!
Elly Mazlein menganggap pengurangan nafkah anak yang diminta bekas suaminya, pengarah drama Azmi Hatta dari RM1,500 kepada RM500 sebulan sebagai tidak masuk akal.
Menurut Elly, bayaran nafkah anak sebanyak RM500 yang diminta Azmi itu tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup anak mereka ketika ini.
"Bayangkan bayaran untuk suntikan imunisasi anak saja sudah mencecah RM400 sebulan. Ia belum termasuk kos sara hidup lain seperti bil hospital ketika anak sakit, lampin pakai buang, insurans dan sebagainya," katanya.
Elly berkata, dia tidak terkejut dengan permintaan Azmi yang dikemukakan menerusi peguamnya itu kerana sudah menyangka dia akan berbuat sedemikian.
"Sebenarnya, saya sudah tahu permainannya. Sebab itu saya hanya ketawa ketika majlis sulh selesai, semalam.
"Saya juga tidak boleh terima alasannya (Azmi) untuk meminta pengurangan bayaran nafkah anak kami itu kerana tidak mampu," katanya kepad HarianMetro.
Lydiawati dikenakan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah memukul peniaga wanita warga Brunei menggunakan besi, Mac tahun lalu.
Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Lydiawati, 51.
Mahkamah turut memerintahkan Lydiawati dikenakan hukuman penjara 14 bulan, jika gagal membayar denda itu.
Bukan main marah lagi Chef Wan dengan bekas menantunya, Gavin yang enggan menghadiri ke mahkamah untuk proses perceraiannya dengan anak Chef Wan, Serina.
Chef Wan memuatnaik status marah berkenaan semalam dengan ayat-ayat yang susah hendak kita percaya.
Ezlynn mendedahkan pergolakan rumah tangganya bermula sejak tiga tahun tetapi dipertahankan atas saranan mahkamah syariah yang memintanya menjalani kaunseling.
Begitupun, selepas tempoh itu hubungan Ezlynn bersama suami, Adam Fahmy, tidak dapat diselamatkan susulan tiada persefahaman.
"Kemelut rumah tangga kami bermula sejak tiga tahun lalu dan akhirnya saya terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah selepas tidak nampak jalan penyelesaian. Kini kami mengikut saranan pihak mahkamah menjalani sesi kaunseling.
"Saya mengunci mulut kerana menganggap ia kisah peribadi bersama suami yang tidak harus diceritakan kepada umum. Masih panjang sebenarnya proses ini untuk dibicarakan di mahkamah.
"Sejujurnya memang tiada komunikasi antara kami tetapi itu tidak bermakna kami bermasam muka. Lebih baik begini," katanya kepada BH Online.
Status rumah tangga penyanyi Ezlynn dan suaminya Adam Fahmy akan diketahui pada 11 Julai depan selepas jawatankuasa pendamai mengemukakan laporan berhubung jalan penyelesaian dalam kes perceraian itu.
Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Mohamed Hizwan Mohamed Nor menetapkan tarikh berkenaan bagi membolehkan jawatankuasa pendamai yang dilantik oleh pihak plaintif iaitu Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 35, dan Adam Fahmi selaku defenden mengemukakan laporan mereka kepada mahkamah.
Peguam yang mewakili Ezlynn, Izyan Hazmi Ahmad berkata, pelantikan jawatankuasa dibuat berikutan tiada persetujuan bersama dalam meneruskan hasrat untuk bercerai.
"Pihak jawatan kuasa pendamai perlu tahu peranan sebenar mereka ialah untuk memastikan tidak berlaku perceraian. Perbincangan akan dilakukan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
"Saya harap kes ini tidak berlanjutan dan semua pihak perlu memberi kerjasama dalam menyelesaikan kes ini dan pihak berkenaan hadir pada hari yang ditetapkan," ujarnya.
Ezlynn memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lalu.
Ezlynn memfailkan cerai terhadap suaminya, Adam Fahmy Shamsudin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur sebentar tadi.
Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 36, memfailkan permohonan itu pada Januari lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berikutan Adam Fahmy selaku defendan tidak bersetuju dengan perceraian itu, mahkamah telah memerintahkan kedua-dua pihak untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kalangan ahli keluarga mereka.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada ahli keluarga yang rapat dengan plaintif dan defendan bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Pada prosiding hari ini, Ezlynn telah melantik kakak kandungnya manakala Adam Fahmy yang juga pengurus artis itu melantik adik kandungnya sebagai wakil JKP dalam kes perceraian mereka.
Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk wakil-wakil JKP membentangkan laporan mereka.
Ezlynn dan Adam Fahmy mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan belum dikurniakan anak. -HarianMetro
Bukan main lagi nak Raya ni buat Vanidah Imran, dengar berita yang Syarikat pengeluar kosmetik Ronasutra telah menerima perintah oleh pihak mahkamah Seksyen untuk membayar baki bayaran kontrak berjumlah RM265,000 kepada pelakon Vanidah Imran.
Memetik laporan Berita Harian, Hakim Roszianayati Ahmad membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan Vanidah mendapatkan bayaran tunggakan bagi 'talent agreement' yang dimasuki antara pelakon itu dan Miliyasutra Industries Sdn Bhd bagi tempoh dua tahun bermula pada September 2012.
Mahkamah membenarkan tuntutan Vanidah selaku plaintif selepas mendengar keterangan saksi kedua-dua belah pihak.
Oleh itu, Roszianayati memerintahkan Miliyasutra membayar kos berjumlah RM10,950 kepada Vanidah.
Namun, hakim menolak tuntutan Vanidah untuk mendapatkan ganti rugi bagi penggunaan imejnya selepas luput perjanjian, tuntutan bagi ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk.
Selain itu, mahkamah turut menolak saman tuntutan balas Miliyasutra dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM10,000.
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman,46, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sah bercerai dengan suaminya Fairuz Ahmad Zainuddin,39, di Mahkamah Syariah Perak, pagi semalam.
Perkara itu disahkan sendiri Datuk Seri Vida ketika dihubungi pagi tadi.
Datuk Seri Vida berkata, dia bersama bekas suaminya itu hadir ke Mahkamah Syariah pagi ini untuk proses lafaz cerai selepas sudah menfailkan permohonan perceraian beberapa minggu lalu.
Ketika diminta mengulas punca masalah dan keretakan rumah tangganya sehingga bercerai, dia berkata, punca perceraian adalah disebabkan tidak mempunyai persefahaman lagi antara mereka.
"Semuanya dimudahkan dan kami sah bercerai, kami tidak mempunyai persefahaman lagi," katanya kepada harianMetro.
Fasha Sandha memfailkan perintah injuksi bagi menghalang bekas suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai daripada terus mengganggu privasinya.
Menerusi permohonan itu, Fasha selaku pemohon memohon Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Isnin semalam menghalang responden daripada mengganggunya secara percakapan, termasuk mesej melalui SMS, aplikasi Whatsapp atau di laman sosial serta merta.
Selain itu, pemohon juga ingin mendapat perintah mahkamah supaya menghalang responden daripada menceroboh privasinya sama ada secara bersendirian, ditemani keluarga atau rakan-rakan.
Bagaimanapun mahkamah menolak untuk mendengar permohonan injuksi pencegahan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat pelakon itu.
Hakim Syarie, Muhammad Abdul Karim Wahab sebaliknya memerintahkan kes itu didengar dengan kehadiran dua belah pihak bagi membolehkan Jejai menjawab sendiri tuduhan yang dibuat terhadapnya.
"Walaupun mahkamah berpuas hati dengan afidavit yang difailkan pemohon namun adalah lebih adil mahkamah memberi peluang kepada responden sendiri untuk menjawab semua dakwaan," katanya kepada mStarOnline.
Bekas Vokalis baharu utama kumpulan Hyper Act, Kecik di perintah oleh Mahkamah Majistret Selayang semalam, membayar kompaun sebanyak RM200 kepada kekasihnya atas kesalahan mencederakan wanita itu dua minggu lalu.
Kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, ketika kes itu didakwa.
Selepas pertuduhan dibacakan Kecik atau nama sebenarnya Muhammad Fauzi Kamaruddin,23, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas Farah Nurizzati Salleh, 25, pukul 7.13 malam pada 12 Mac lalu.
Dia yang sebelum itu memakai topeng muka bagi mengelak wajahnya dirakam melakukan kesalahan itu di sebuah tempat di Batu 6 3/4, Kampung Changkat Gombak.
Sementara itu ketika prosiding mangsa yang berbaju kurung berbunga merah bersetuju untuk kes ini diselesaikan dengan kompaun dengan meminta sebanyak RM200.
Tertuduh yang berada dalam kandang mahkamah bersetuju dengan jumlah itu dan kemudian membayar kompaun itu. -Kosmo!
Semua 16 pertuduhan terhadap Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman, yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 hingga Julai 2016 ditarik balik selepas jutawaan kosmetik itu membayar kesemua cukai berkenaan hari ini.
Hakim Murtazadi Amran membenarkan permohonan pihak Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk menarik semua pertuduhan itu selepas mempertimbangkan pembayaran keseluruhan tuntutan cukai dari tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai 2016 yang berjumlah RM4.2 juta.
Hasmiza, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida pada 13 Oktober 2016 didakwa dengan 32 pertuduhan kerana gagal mengemukakan penyata dan membayar GST untuk tempoh berkenaan serta mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan.
Datuk Seri Vida pada 15 Disember 2016 bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah bagi 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata dan dia dikenakan denda RM80,000, manakala bagi 16 lagi pertuduhan gagal membayar dia mengekalkan pengakuan tidak bersalah serta minta dibicarakan.
Perbicaran kes berkenaan sepatutnya dijadualkan pagi ini, namun atas perkembangan terbaru mengenai pembayaran tuntutan cukai berkenaan yang dibuat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini, pihak pendakwaan menarik semula semua pertuduhan. -HarianMetro