Senario Masih Lagi Bertahan

Pada: Isnin, 12 Oktober 2009
Biarpun negara melihat kemunculan pelawak baru, ia tidak pernah membunuh semangat Lan Pet Pet atau membuatkan dirinya berasa terancam. Malahan, hingga hari ini saham Lan Pet Pet atau Mazlan Ahmad serta 2 lagi anggota Senario, Azlee dan Wahid, tetap bertahan. Jika tidak masakan filem-filem lakonan mereka terus dihasilkan untuk tayangan layar perak.

Pejam celik pejam celik, penglibatan mereka kini sudah pun menjangkau 14 tahun dalam dunia komedi, sejak bakat masing-masing dicungkil menerusi pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan. Disatukan sebagai sebuah kumpulan pada tahun 1996, anggota asalnya terdiri daripada Azlee, Wahid, Ilya, Hamdan dan Lan Pet Pet. Walaupun ada anggota yang telah mengundur diri, nama Senario masih relevan dengan dunia hiburan. Kata Lan yang telah berumah tangga, dia tidak pernah melupakan niat asalnya yang ingin menjadi pelawak dan penghibur.

"Sejak di sekolah rendah lagi saya suka melawak. Perangai gila-gila saya sudah ada sejak dalam kelas hingga ke luar sekolah. Saya terfikir kalau berlawak tentu boleh dapat duit. Saya suka buat orang terhibur dan ketawa," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Halim, Alor Setar, Kedah ini.
"Kami hargai David Teo (MIG) kerana terus beri kepercayaan untuk menebitkan filem kami. Kami terharu nama Senario masih mampu mengajak peminat ke panggung," katanya merujuk kepada kutipan Senario The Movie Episod 1 yang membolot RM4.5 Juta.
Dan kini selepas Senario The Movie Episod 1, filem Senario The Movie Episod 2 dan Zoo pula bakal ditayangkan tidak lama lagi. Terbarunya Senario The Movie Episod 3 akan memulakan penggambaran hujung tahun ini. Memang jelas itu semua rezeki Lan dan rakan-rakan Senario.

Tag : , , ,