Maya Karin nafi pergi Jakarta dengan Remy

Pada: Rabu, 11 Ogos 2010
Hujung minggu lalu bersamaan 1 Ogos, timbul gosip mengatakan Maya Karin dan Remy Ishak menghabiskan masa bersama-sama di Jakarta, Indonesia. Gosip yang dimuatkan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu ini menyebut Maya dan Remy dilihat berdua-duaan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Jakarta. Dakwaan ini bagaimanapun disangkal sekeras-kerasnya oleh Maya. Menurut Maya, pada tarikh tersebut dia dalam perjalanan dari Langkawi ke Kedah kerana terlibat dengan pengambaran filem ‘Ombak Rindu’ arahan Osman Ali.

“Perkara itu 100 peratus tidak benar dan saya menafikannya. Ini adalah fitnah kerana pada tarikh yang dinyatakan, saya dan Remy berada di dua lokasi yang berbeza. Pada 1 Ogos saya berada di Alor Setar, Kedah selepas selesai penggambaran di Langkawi. Kemudian, pada 2 Ogos itu pula saya berada di Thailand untuk penggambaran filem yang sama.
Kalau anda semua tidak percaya, pengarah filem saya, Osman Ali sanggup menjadi saksi. Dia ada memberitahu supaya menyuruh pihak media menelefonnya sendiri sekiranya tidak percaya dengan penjelasan saya. Memang pada waktu itu saya ada bersama-sama dia dan krew filem yang lain,” jelas Maya yang ditemui pada sidang akhbar teater Natrah musim kedua di Istana Budaya kelmarin. Dalam pada itu, Maya juga mencabar penyebar gosip supaya tampil memberikan penjelasan berserta bukti sekiranya ada.
“Bagi saya kalau perkara itu berlaku di depan matanya, pasti dia sudah ambil kesempatan untuk merakamkan gambar saya dan Remy. Saya pun tidak tahu apa kenapa masih ada orang yang tidak puas hati dengan saya. Saya rasa hendak jumpa dengan sumber itu. Boleh saya tanyakan sendiri kepadanya dan minta dia kemukakan bukti,” tambah Maya lagi.
“Satu pembohongan besar. Itu yang boleh saya katakan berhubung isu ini. Pada tarikh yang disebutkan itu saya berada di sekitar Kuala Lumpur kerana sedang menjalani penggambaran telemovie ‘Air Mata Nursalina’. Kak Eirma Fatima boleh sahkan perkara ini kerana dia adalah pengarahnya. Penggambaran bermula dari 28 Julai hingga 6 Ogos, jadi mustahil saya boleh berada di Jakarta,” jelas Remy tegas. -Gua

Tag : , , ,