Bung Mokhtar, Zizie mengaku bersalah poligami tanpa izin

Pada: Rabu, 21 April 2010
“KES ini (poligami tanpa izin) terlalu peribadi. Jadi, biarkan pihak mahkamah tentukan pada 18 Mei ini,” kata aktres Zizie Izette berhubung perkahwinannya dengan Datuk Bung Moktar Radin yang didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa izin. Isteri kedua kepada ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun menegaskan perkahwinan mereka yang berlangsung di rumah saudara mereka di Cemerlang Height, Kuala Lumpur pada 16 Disember tahun lalu sah mengikut hukum syarak.

“Pernikahan kami sah mengikut hukum Allah dan syarak, ada wali dan saksi. Cuma kami bernikah tanpa izin dan menyalahi undang-undang syariah Malaysia. Bagaimanapun, kami tidak perlu mempertikaikan tentang pernikahan ini kerana ia terikat dengan kuasa undang-undang. Kita tunggu sahaja keputusannya pada 18 Mei ini dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu,” ujar Zizie.
Bung Moktar dan Zizie telah dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (20/4) untuk menghadapi dakwaan berpoligami tanpa kebenaran. Kedua-duanya mengaku bersalah. Hakim menetapkan 18 Mei depan untuk menjatuhkan hukuman. Bagi Zizie, biarlah dia simpan sahaja cerita tentang mengapa perkara itu berlaku kerana tidak elok untuk menceritakan tentang kisah peribadi mereka ibarat membuka pekung di dada. -mStar

Tag : , , ,