Pertunangan Sheikh Muszaphar, Dr Halina

Pada: Sabtu, 2 Januari 2010
Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor hari ini telah mengikat tali pertunangan dengan Dr. Halina Mohd Yunus di Hotel Allson Kelana, Seremban, kelmarin (1/1/2010). Majlis pertunangan yang bermula pada pukul 4 petang itu berlangsung sederhana tetapi meriah dengan dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan terdiri daripada anggota keluarga, sanak saudara, rakan-rakan rapat dan wakil media.

Dr Sheikh Muszaphar, 37, segak berpakaian baju Melayu kelabu dan bersamping merah muda dan bersongkok dengan diiringi bapanya Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad. Sementara Dr Halina, 29, yang tampak manis berpakaian baju kurung moden merah muda diiringi bapanya Mohd Yunos Mohd Ali dan ibunya Habibah Endan.

Dr Halina menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas dengan lima dulang hantaran. Zuraidah kemudian menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Dr Halina sebelum Habibah pula menyarungkan cincin ke jari manis Dr Sheikh Muszaphar. Pasangan itu memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga detik Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Okt 2007.

Tag : , , ,