Akhil Hayy Bengang dengan JAIS

Pada: Ahad, 6 Disember 2009
'Tak layak ajar agama' - Kenyataan itu ditujukan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi kepada penceramah Akhil Hayy, yang dikatakannya memiliki latar belakang agama yang cetek dan kerana itu, tidak layak berceramah dan mentarbiah orang lain. Ditambah pula, Akhil tidak pernah diberikan kelulusan berceramah oleh Jais.

“Apa yang kami bimbang, penceramah yang tidak memiliki pengetahuan agama sepatutnya tetapi berlagak bijak berceramah boleh menjurus kepada mengelirukan masyarakat yang menjadi pendengar,"
kata Mohamed Khusrin yang juga melihat kelemahan Akhil dalam menangani isu peribadinya sebagai kelemahan yang tidak sepatutnya ada dalam seorang penceramah selain tindakannya mengaibkan orang dalam ceramahnya.

Menegaskan setiap yang disampaikan itu adalah berlandaskan kitab suci al-Quran dan hadis, Akhil mempersoalkan tindakan Jais mengatakan dia tidak memiliki latar belakang agama. Dedahnya, selepas meninggalkan dunia artis dia pernah ke sebuah pusat pengajian Islam di negara jiran bagi memuhasabah diri.

Ulasnya lagi, tujuannya berceramah adalah untuk berkongsi ilmu dengan harapan dapat membawa kepada perubahan dalam diri pendengar untuk menjadi umat Islam yang lebih baik, dan bukannya untuk membawa ajaran sesat.
“Persoalannya, adakah kerana tidak memiliki latar belakang agama itu menjadi masalah besar sedangkan kita mampu memberikan sumbangan baik kepada masyarakat, dan dijemput menjadi penceramah di negara lain yang menghargai ceramah disampaikan?” kata Akhil yang memberitahu dia tidak akan merayu untuk mendapatkan ‘skrip tauliah’.

Tag : , , ,