Farah Asyikin Bercinta Suami Orang?

Pada: Rabu, 21 Oktober 2009
Nada suaranya jelas menggambarkan kesedihan hatinya apabila dilemparkan dengan tohmahan kononnya dia menjalinkan hubungan dengan suami orang. Bagi Farah Asyikin, dia tidak menyangka perkenalan ikhlas dengan seorang lelaki berusia 35 tahun yang akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka itu akan membuatkan dirinya 'terjerumus' dalam kontroversi ini.

Semuanya gara-gara satu e-mail yang tersebar dikatakan dihantar oleh seseorang kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang mendakwa Farah bercinta dengan suami orang dan mereka turut bercuti bersama di Hong Kong, baru-baru ini. Tutur Farah, dia tidak menafikan lelaki yang dimaksudkan di dalam e-mail itu ialah M, berasal dari Singapura, yang mana hubungan mereka baru saja benar-benar serius sejak empat bulan yang lalu. Namun, kata penyanyi berusia 30 tahun ini, apa yang diperkatakan di dalam email tersebut tentang dirinya adalah tidak benar.

"Kami sebenarnya berkenalan menerusi laman web Facebook sejak setahun lalu. Kami hanya kawan biasa saja ketika itu, sehinggalah beberapa bulan kemudiannya kami bertemu dan dari situ kami mula mengenali diri masing-masing.
"Pada waktu itu, dia beritahu saya bahawa dia baru bercerai beberapa bulan sebelum kami bertemu. Saya faham keadaannya ketika itu apatah lagi saya juga pernah melalui perkara yang sama dulu. Jadi, kami lebih senang berkawan saja waktu itu dan hanya benar-benar serius sejak empat bulan lalu," kata Farah yang juga pernah melalui perceraian dengan bekas suaminya, pada 26 Mei tahun lalu.
Lantaran itu, kata penyanyi yang popular dengan lagu 1000 Penipuan dan Hello ini, tidak sepatutnya timbul dakwaan sedemikian ke atasnya memandangkan dia tidak ada kena-mengena di dalam perceraian pasangan tersebut sehinggalah mereka bertemu dan berkawan rapat selepas itu. Farah juga tidak menafikan pernah bercuti ke Hong Kong baru-baru ini, tetapi menyangkal dakwaan yang kononnya dia ke sana dengan lelaki tersebut.

Tag : , , ,