Que Haidar dedah kenapa dia kata pelakon baru macam 'kayu'

Pada: Isnin, 14 Ogos 2017
Baru-baru ini Que Haidar tampil memberitahu yang dia kurang senang dengan pelakon baharu yang berlakon tidak memuaskan seperti 'kayu'. Namun kenyataan itu bukanlah dia cemburu sebab lama tak turun ke dunia lakonan.

Cuma kenyataan berkenaan adalah dibuat secara umum dan tidak mengira siapa sahaja.

"Tiada sedikit pun rasa cemburu atau iri hati dengan mereka-mereka ini (pelakon baharu), saya sangat sayangkan lakonan itu sendiri.

"Jadi saya lihat kerja mereka ini seakan-akan mempermainkan dan memperlekehkan kerja seorang pelakon, saya sangat terasa, jadi saya rasa patut bersuara demi dunia lakonan itu sendiri dan industri kita," ujarnya.
Menerusi perkongsian itu di Facebook minggu lalu itu, Que kesal apabila tiada seorang pun wajah baharu yang menghadiri bengkel-bengkel lakonan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Justeru itu, dia turut mencadangkan agar pihak Persatuan Seniman supaya merangka garis panduan khusus kepada pelakon baharu untuk hadir ke kelas berkaitan lakonan sebelum terlibat dengan sebarang penggambaran drama.
"Saya nak cadangkan pihak Seniman supaya senaraikan pelakon baharu yang kayu supaya wajib menghadiri kelas lakonan dalam masa setahun.

"Selain itu, perlu ada sedikit garis panduan untuk stesen televisyen, penerbit dan pengarah yang sekarang ini kemaruk sangat dengan hanya memandang rupa paras dan pengikut laman sosial. Ini juga memberi peluang kepada mereka yang rasa diri kacak dan cantik tapi 'kosong' ini berilmu walaupun sedikit," luahnya.

Tag : , , , ,