Linda minta Que jangan jadi artis lagi

Pada: Isnin, 7 Disember 2009
Berita terbaru yang berbisik ke telinga mengenai Que Haidar ialah dia kini sudah mendapat arahan atau boleh dianggap desakan atau permintaan daripada Linda Jasmine supaya melupakan saja dunia lakonan yang pernah mengharumkan namanya sebelum ini. Que kononnya sudah tidak boleh menerima apa-apa lagi tawaran lakonan! Lebih menggemparkan, sumber yang membisikkan cerita panas ini memberitahu, Que kini sudah bergelar pengurus di sebuah kilang baja di Kuala Lumpur.

Alamak, daripada seorang aktor hebat, sekarang ni Que dah jadi orang besar kilang baja, biar betik. Khabarnya, Linda tidak membenarkan Que bergelar artis kerana beranggapan kerjaya sebagai pelakon ini tidak menjanjikan masa depan cerah. Pun begitu, menurut sumber yang rapat dengan pasangan itu, Linda terpaksa membuat keputusan itu gara-gara cemburu.

Dengar cerita lagi, Que menangis di telefon ketika mengadu mengenai perkara itu kepada pengarah, Afdlin Shauki, baru-baru ini. Filem terakhir Que bekerja di bawah arahan Afdlin ialah Misteri Jalan Lama, sebelum itu Papadom. Terbaru, Zubir dengar cerita Que turut terpaksa menolak pelawaan Mamat Khalid membintangi filem terbaru arahannya.

Tag : , , ,