Sharifah Sofea nak Kahwin

Pada: Jumaat, 10 Julai 2009
Lebih dua tahun mengenali hati budi jejaka berpangkal nama Syed itu, akhirnya pelakon Sharifah Sofea Syed Hussein yang mesra disapa Sofia ini yakin untuk mengakhiri zaman bujangnya dengan jejaka kacukan Melayu-Jordan, 30, itu pada Oktober ini. Dalam nada ceria, pelakon kelahiran Liverpool, England ini akui, perasaannya ketika ini bercampur-baur antara gembira dan gementar apatah lagi hari bersejarahnya itu akan berlangsung lebih kurang tiga bulan saja lagi.

Sambil enggan mendedahkan tarikh sebenar majlis itu, kata Sofia, apa yang pasti, perkahwinannya itu akan berlangsung dalam suasana yang 'simple' dan cukup privasi tanpa liputan media.
"Memang kami merancang untuk mengadakan majlis ini secara tertutup. Ini adalah kehendak kami dan juga keluarga. Lebih kurang 500 tetamu akan dijemput yang rata-ratanya adalah ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan terdekat kami.
"Insya-allah, jika tiada aral melintang, majlis pernikahan akan diadakan di sebuah masjid di ibukota dan seminggu selepas itu majlis persandingan akan menyusul di sebuah hotel," kata Sofia yang ingin merahsiakan dulu tarikh sebenar perkahwinannya itu.
Ketika ini, kata pelakon dan pengacara berusia 24 tahun ini, segala persiapan menjelang majlis tersebut sedang giat dibuat.

"Saya akan mengenakan baju rekaan Amir Luqman untuk majlis akad nikah dan resepsi. Konsep pelamin masih belum ditentukan, mungkin saya sendiri akan memberi idea untuk hiasan pelamin kelak.
"Tetapi, majlis perkahwinan kami tidak mempunyai tema tertentu. Mungkin hanya tema dari segi warna iaitu merah, biru dan putih. Apapun, saya ingin cuba jadikan ia sekreatif mungkin. Memang agak pening juga memikirkan tentang persiapannya, tambahan pula ketika ini saya juga sedang sibuk dengan penggambaran drama Nur Kasih dan selepas ini akan menjalani penggambaran sitkom Simpang Tiga pula," kata Sofia.
Pada majlis akad nikah itu nanti, Sofia akan menerima sembilan buah dulang hantaran berbalas 11, manakala wang hantarannya pula masih belum ditetapkan. -mStar

Tag : , , ,