Amelina di Usir, Gagal Bayar Sewa Rumah

Pada: Jumaat, 26 Jun 2009
Awal minggu ini, kawasan kediaman di Kota Kemuning, Shah Alam menjadi kecoh dan berlaku sedikit 'drama' apabila seorang pemilik rumah hadir bersama para pegawai mahkamah untuk mengusir penyewanya pagi semalam.

Yang menyebabkan peristiwa ini menjadi lebih menarik apabila, penyewa yang dimaksudkan itu adalah bekas penyanyi dangdut Amelina dan suaminya.

Menurut pemilik rumah tersebut, K. Madhavankutty, beliau telah mendapatkan perintah dari Mahkamah Shah Alam setelah Amelina dan suaminya tidak membayar sewa rumah selama dua bulan.

Jurutera Madhavankutty turut hadir bersama pegawai-pegawai Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan air dan elektrik di rumah tersebut.

Menurut peguam Arnold Andrew yang mewakili Madhavankutty, suami penyewa rumah itu yang mendakwa dirinya seorang 'Datuk' telah menyewa rumah banglo berkembar yang lengkap dengan perabot dengan sewa RM2,700 sebulan.
"Dia hanya membayar sebahagian sewa untuk bulan pertama dan tiada apa-apa bayaran dibuat untuk bulan ini.
Menurut Andrew, mereka terpaksa menunggu lama untuk masuk ke rumah tersebut walaupun puas membunyikan loceng rumah itu, sehinggalah suami penyewa rumah itu datang bersama seorang peguam.
"Bila suami dia sampai baru isteri dia buka pintu dan pada masa itu juga saya terperanjat dan kenal yang isteri dia ialah Amelina," kata Madhavankutty yang juga pemilik itu.
Kata Madhavankutty, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin lengkap berpakaian tudung dan berjubah ketika ditemui pada hari penyanyi dan suaminya itu diusir dari kediaman tersebut.

Menurutnya lagi, pasangan ini bukan sahaja tidak membayar sewa rumah tersebut, bil elektrik dan air juga tertunggak dan jumlahnya telah menjangkau lebih RM 2 ribu.
"Saya buat laporan polis sebab saya takut bila mereka pindah, mereka akan ambil semua barang-barang saya yang ada di dalam rumah itu dan saya takut juga kalau-kalau mereka akan rosakkan barang-barang saya." kata pemilik rumah ini.
Menurut cerita Madhavankutty juga, jiran-jiran ada memberitahunya bahawa setiap petang mereka kerap mendengar Amelina menangis.
"Pernah jiran beritahu saya, dia terdengar bunyi seperti Amelina menangis. Malah suami Amelina pernah memarahi jiran tersebut kerana keluar berjalan bersama Amelina.
Jiran juga ada beritahu saya, yang Amelina sekarang sedang mengandungkan anak mereka yang ke-7," tambahnya lagi. -mStar

Tag : , , ,