Fara Fauzana Pergi Ke Masjid Nabawi

Pada: Isnin, 23 Mac 2009
Meskipun dalam kesibukan kerja, pelakon dan penyampai radio Hot FM ini tidak terlepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai orang Islam.

“Sungguh tenang ketika di sana,” sekilas kata Fara Fauzana mengenai pengalamannya ketika menunaikan umrah bersama keluarganya, 14 Januari 2009.

Tambah Fara, sebelum ini dia sering mendengar cerita mengenai ketenangan yang dirasai ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci. Hampir tiga tahun memendam hasrat untuk ke sana, akhirnya rezeki itu datang jua.

“Kini baru saya tahu betapa tenangnya jiwa ketika di sana. Sebelum ini saya sering menggambarkan ketenangan yang diceritakan rakan. Begitupun, perasaan sewaktu menjejakkan kaki sana berlainan dengan apa yang digambarkan.

“Pendek kata, sukar untuk menceritakan perasaan itu. Mungkin perasaan itu kelebihan yang diberi Allah Yang Maha Esa kepada makhluk-Nya di sana,” katanya.

Fara memulakan perjalanannya ke Tanah Suci pada 14 Januari lalu dan kembali ke tanah air 10 hari kemudian. Bercerita mengenai pengalamannya sepanjang di sana, Fara terkejut apabila menyaksikan padang pasir mula ditumbuhi tumbuhan.

“Dalam satu perjalanan yang merentasi padang pasir, dari jauh saya melihat tumbuhan hijau yang tumbuh bagai padang bola. Namun yang memeranjatkan, tumbuhan seperti rumput itu tumbuh di tengah-tengah padang pasir.

“Setahu saya, mana mungkin tumbuhan hijau boleh hidup di padang pasir yang kering kontang. Semua jemaah terkejut melihat situasi itu.

“Namun, mungkin inilah kebesaran Allah yang Maha Kuasa. Mungkin juga, ia menjadi tanda mengenai sesuatu buat kita,” katanya yang masih teruja dengan pengalaman itu.

Tag : ,