Ella dah Temui Buah Hati Baru

Pada: Jumaat, 12 Jun 2009
Ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasinya, Ella-The Greatest Hits, di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur semalam, penyanyi yang telah tiga dekad mengabdikan diri sebagai anak seni ini tetap tidak terlepas diajukan tentang cinta dan perkahwinan.

Ella hanya tersenyum manja tatkala subjek itu 'ditimbulkan' semula. Sesekali, Ella cuba juga menepis soalan-soalan 'cepumas' itu, namun begitu, penyanyi ini tidak keberatan berkongsi tentang 'statusnya' ketika ini.
"Memang saya ada sayang seseorang. Dia tiada kena-mengena dengan industri hiburan, tapi dia memang meminati muzik," luah Ella, ringkas.
Ditanya adakah orang yang berjaya mencuri hatinya itu masih merupakan lelakiyang sama pernah diceritakannya dua tahun lalu, sambil tersenyum dia hanya menjawab:
"Insya-allah bila masanya tiba, saya akan bagitahu. Bukan sengaja nak berahsia, tapi saya rasa bukan sekarang untuk bercakap tentang ini.
"Saya perlu 'respect' keluarga dia dan saya juga. Lagipun rezeki, ajal maut ditentukan Tuhan, jika ada nanti, adalah," ujarnya.
Diajukan soalan tentang perancangannya untuk mendirikan rumahtangga, tutur Ella, dia belum terfikir untuk berbuat demikian dalam masa terdekat ini.
"Bukannya saya takut dengan perkahwinan. Sudah tentu kalau boleh saya nak kahwin secepat mungkin. Tapi ini semua Tuhan yang tentukan," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran album kompilasi Ella-The Greatest Hits yang menggabungkan lagu-lagu terbaiknya di ibunegara. -mStar

Tag : ,