Akhil Hubungi Waheeda Bukan Maiza

Pada: Khamis, 28 Mei 2009
"Saya rasa setakat ini saya masih boleh bersabar. Ini hal mereka suami isteri, jadi selesaikanlah sendiri," luah Waheeda berhubung kontroversi yang melanda dirinya saat ini.
Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

"Saya tak ada apa untuk cakapkan lagi. Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya redha saja.

"Malah, Akhil sendiri ada menghubungi saya ketika hal ini mula tercetus dan minta saya banyak-banyak bersabar. Dia beritahu saya 'ini bukan urusan kamu Wawa, ini urusan aku. Biar aku yang selesaikan'.

"Alhamdulillah, saya tetap kuat teruskan kehidupan seperti biasa. Keluarga dan kawan-kawan sentiasa tidak putus memberikan sokongan.

"Tapi seperti yang saya pernah katakan, setiap orang ada tahap kesabarannya. Jadi, biarlah dia (Maiza) nak cakap apapun sekarang ini.

"Cuma, saya juga ada hati dan perasaan. Jangan sampai saya terpaksa buka mulut lagi," kata Waheeda yang menambah, dia sendiri tidak tahu di mana Akhil berada ketika ini.
Ditanya sama ada dia sebenarnya tidak terlepas berasa tertekan gara-gara kontroversi itu, dalam nada perlahan, Waheeda menjawab:
"Saya serah kepada Allah. Hanya itu yang terbaik boleh saya katakan."
Lain yang jadinya pula, apabila Maiza mengeluarkan kenyataan ini sebelumnya:
“Bagi saya, selepas saya sudah nekad membuat keputusan untuk ke mahkamah, jadi saya tak perlu hubungi dia lagi,” ulasnya yang pernah menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) buat kali terakhir selepas mereka berunding pada Februari lalu.

Jelasnya, “Memang saya terpaksa membuat perbincangan menerusi SMS disebabkan mungkin Ustaz (Akhil) sedang sibuk untuk berbincang tentang apakah masalah yang mereka hadapi setelah saya memberi keizinan itu (untuk berkahwin).” -mStar

Tag : ,