Jadual Uji Bakat Mentor 3, Pilih Mentor Anda Sendiri!

Pada: Isnin, 23 Mac 2009
Keenam-enam mentor popular yang tidak asing lagi, seperti Jac, Adibah Nor, Awie, Mas Idayu, Ajai dan Lah Ahmad akan 'turun padang' ke sesi ujibakat yang bakal bermula 14 Mac hingga 4 April depan pada pukul 10 hingga 5 petang di Sri Pentas, Bandar Utama dan akan memilih sendiri seorang protege yang memenuhi kriteria mereka.
Jac

"Pada awalnya saya menolak tawaran ini kerana merasakan pengalaman saya tidaklah begitu hebat. Tetapi pihak produksi meyakinkan saya dan akhirnya saya bersetuju untuk menggalas peranan mentor. Saya ingin mencari protege yang mampu menyanyi dengan baik, tidak kiralah apa saja genre. Lelaki atau perempuan saya tidak kisah, asalkan dia mempunyai keyakinan tinggi dan mempunyai semangat untuk belajar."

Adibah Nor

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mencari anak didik dan cuba bantunya berjaya dalam bidang ini. Tetapi yang penting, saya ingin cari orang yang benar-benar berbakat, boleh ditegur dan tidak 'gedik'. Dan kalau boleh, saya inginkan protege wanita. Saya ingin protege saya nanti menjadi seorang yang versatile. Tetapi jika yang saya jumpa itu hanya mempunyai kekuatan pada satu genre saja, saya terima saja dan akan fikirkan cara lain untuk jadikannya menyerlah."

Awie

"Sebenarnya, sudah dua musim saya ditawarkan untuk menjadi mentor, tetapi ketika itu jadual saya cukup padat dan hanya musim ini baru saya berpeluang untuk terima semula tawaran itu. Saya akan memilih protege wanita yang mampu menyanyikan lagu rock dengan baik. Setakat ini, hanya Ella saja penyanyi rock wanita di Malaysia dan kalau boleh saya ingin cari pelapisnya. Tetapi saya tidak menghadkan kepada rock saja, dia perlulah ada kebolehan untuk menyanyi lagu genre lain juga. Cuma, saya tetap beri penekanan kepada rock."

Mas Idayu

"Sudah lama saya saya berada dalam bidang ini dan saya rasa dengan pengalaman yang saya ada, saya boleh curahkan kepada protege saya. 'At least' nanti, kalau bakat yang dilahirkan nanti bagus, orang akan memuji inilah anak didik Mas Idayu. Saya mahu protege saya bukan saja mampu menyanyi lagu dangdut, tetapi lagu asli juga. Saya percaya, jika dia mampu menyanyi dua genre lagu ini, dia juga boleh menyanyi pelbagai genre lagu lain."

Lah Ahmad

"Saya akui pengalaman saya berbanding mentor yang lain agak kurang. Tetapi saya sahut cabaran ini dan akan cuba lakukan yang terbaik untuk protege saya kelak. Jika boleh, saya ingin mencari protege lelaki, tetapi jika sesi ujibakat nanti peserta wanita yang lebih menyerlah, tidak mustahil saya akan pilih wanita pula."

Bagi yang berminat untuk menghadiri ujibakat dan menjadi protege kepada penyanyi idola masing-masing, tarikh ujibakat itu adalah seperti berikut:

14 Mac - ujibakat mentor 1 (Jaclyn Victor)
15 Mac - ujibakat mentor 2 (Mas Idayu)
21 Mac - ujibakat mentor 3 (Lah Ahmad)
22 Mac - ujibakat mentor 4 (Adibah Nor)
28 Mac - ujibakat mentor 5 (Ajai)
04 April - ujibakat mentor 6 (Awie)

Peserta harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu yang ingin dinyanyikan.

Tag : ,