Ada info/gambar yang ingin dikongsi bersama? email ke:

M. Rajoli meninggal dunia. -al Fatihah

Sabtu, 18 September 2010

Pelakon veteran M. Rajoli, 65, yang dilaporkan berada yang dalam keadaan kritikal sebelum ini telah meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor, Jumaat selepas dimasukkan ke hospital itu petang Khamis lalu. Menurut adik ipar Allahyarham, Mohlis Md. Din,47, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.45 malam, 17 September 2010 di sisi isterinya Hassimah Mat Din dan anak bongsunya, Mohd. Arif.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebelum solat Zohor 18 September 2010. M. Rajoli disahkan menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak tiga tahun lalu dan dijaga sepenuhnya oleh isteri pertamanya, Hassimah Mat Din. -mStar
Minat dengan lakonannya yang membawa seribu makna, kepemergianmu tiada pengantinya, al Fatihah buat Arwah dan salam takziah kepada keluarga arwah.

Gambar terbaru M. Rajoli

Khamis, 10 Jun 2010

Rasanya semua pihak telah sedia maklum bahawa pelakon yang sering membawakan watak ustaz, M. Rajoli sudah sekian lama mengalami masalah kesihatan. Kini beliau hanya terlantar lemah di kediamannya yang terletak di Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Menurut beberapa exco Seniman yang berpeluang menziarah pelakon tersebut sebelum ini, keadaan M. Rajoli semakin tenat jika dibandingkan dengan beberapa bulan yang lalu.

Ini kerana selain daripada susuk tubuhnya yang semakin kurus, dia juga lebih banyak menghabiskan masanya dengan tidur. Malah dia hanya bangun pada waktu makan atau minum sahaja. Itupun setelah dikejutkan oleh isterinya, Hashimah Mat Din. Isterinya ketika ditemubual mengakui perkara tersebut namun tidak dapat mengesahkan mengenai taraf kesihatan M. Rajoli yang sebenar. Katanya, kadang-kadang suaminya itu kelihatan baik dan kadang-kadang pula kelihatan terlalu lemah. -Gua

Perkembangan Keadaan M Rajoli kian Positif

Selasa, 21 April 2009

Tiada detik yang lebih menggembirakan suri rumah, Hassimah Mat Din, selain melihat suaminya, M Rajoli tersenyum gembira menerima kunjungan lebih 20 rakan artis di kediaman mereka di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur, petang Khamis lalu (16/4).

Hassimah atau lebih gemar membahasakan dirinya Kak Mah berkata, kunjungan di luar jangkaan itu secara tidak langsung menjadi penawar kepada suaminya yang menghidap kanser di kelenjar otak (lymphoma) sejak setahun lalu.
"Alhamdulillah, nampak beliau gembira menerima kunjungan rakan artis, termasuk beberapa seniman veteran seperti Anjang Aki (Baharuddin Haji Omar) dan Pak Aziz (Datuk Aziz Sattar). Terubat jugalah kerinduan untuk bertemu beberapa rakan lamanya. Maklumlah, beliau lebih banyak menghabiskan masa di rumah sejak keluar hospital, 10 Oktober lalu dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Sekurang-kurang kehadiran rakan artis memberi sokongan moral kepadanya untuk kembali pulih seperti sedia kala," katanya.
Selain Baharuddin dan Aziz, rombongan artis yang diketuai Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu yang juga Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri itu ialah Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab; Rebecca Nur Islam, Anne Abdullah, Kasmadiana dan Sharifah Shahira.

Bagaimanapun, isteri kedua Rajoli, yang juga pelakon veteran, Wan Chik Daud tidak kelihatan.
Tidak ketinggalan pelakon Aida Aris, Imuda, Sulaiman Yassin, Lan Zailan dan Noniswara, selain wakil Juara Raja Lawak Astro (Musim Kedua), Nabil yang baru saja dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Kesempatan itu turut digunakan oleh artis terbabit untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian, selain bantuan kewangan bagi membantu membiayai kos perubatan M Rajoli, termasuk program fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati, Hulu Klang.

Malah, Den turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia untuk memberikan rawatan kepada pelakon itu yang terkenal dengan watak warak yang sering dilakonkannya.

Berbanding keadaannya sebelum ini, wakil B*Pop mendapati M Rajoli ayau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohd Zain semakin menunjukkan perkembangan positif, termasuk kemampuan bercakap walaupun tidak jelas, selain ceria dan berat badan bertambah.

Kak Mah berkata, suaminya menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini, sekali gus memberikan harapan kepadanya, begitu juga anak-anak untuk melihatnya kembali pulih seperti dulu, seterusnya beraksi di kaca TV dan layar perak
"Syukurlah, memang nampak perubahan pada dirinya sejak mengikut fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu di Taman Melawati bagi menguatkan semula otot dan sistem sarafnya. Saya dan anak-anak sentiasa berdoa agar dia pulih sepenuhnya dengan pelbagai ikhtiar yang dilakukan," katanya.

-Bharian